Full-time traveller, part-time worker, professional dreamer

Zainuddin Omar

Zainuddin Omar

Seorang Jurutera Professional (P.Eng) berasal dari Parit Jawa, Muar, Johor kini memenuhi masa dengan mengembara keseluruh dunia mencari ibrah. Beliau mempunyai 40 tahun pengalaman kembara dan mula mengembara pada usia 17 tahun.

Trip Los Angeles 1985

Pada tahun 1985 saya bersama isteri menaiki penerbangan MAS, transit di Narita Tokyo dan sampai waktu pagi di Los Angeles. Pada zaman tiada internet semua tiket perlu dibeli dari travel agent. Reservation hotel juga boleh dibuat melalui mereka tetapi harganya terlalu mahal kerana semua dibuat menggunakan mesin fax. Saya bercadang untuk redah mencari sendiri kediaman motel berdekatan downtown LA.

Visa US sangat mudah diperolehi terutama jika seseorang itu bekerja dengan Kerajaan. Saya hanya serahkan pasport di Kedutaan US bersama surat sokongan dari Jabatan. Dalam masa seminggu multiple entry visa selama lima tahun telah diluluskan.

Zaman 60’an hingga 80’an Malaysia sangat akrab dengan negara Uncle Sam ini. Pada tahun 1966, Presiden Amerika Syarikat ke-36, Lyndon Baines Johnson, telah melawat Malaysia iaitu satu-satunya negara dalam jadual lawatan “Asian Odyssey”. Kerajaan Malaysia juga telah menaja beribu pelajar selepas MCE (SPM) ke universiti di US dan memang tiada masalah untuk mendapat Visa. Ramai tidak tahu bahawa Kerajaan Malaysia menyokong US semasa peperangan Vietnam dan negara kita menjadi penempatan tentera US untuk R&R.

Selepas melepasi Imigresen kami menaiki teksi menuju kawasan downtown LA. Boleh terasa ketenggekan udara LA kerana pada masa itu ianya bandar yang diselaputi smog (asap kotor).

Pemandunya seorang african american yang baik hati, memberitahu ‘do’s and dont’s’ semasa berada di LA sambil mencarikan kami sebuah motel berdekatan downtown LA.

Beliau mengingatkan kami agar jangan masuk ke ghetto penempatan masyarakat marhaen berbangsa chicano dan african american kerana banyak kes mugging.

Sambil saya nego rates motel pemandu teksi berbaik hati menunggu kami sehingga dapat check-in ke bilik motel. Pada masa itu kadar bilik tidak sampai Rm100 semalam dan exchange rate adalah 1 usd – 2.5 ringgit. Pada tahun 80’an Malaysia masih tag ringgit dengan USD.

Dari motel, tidak jauh ke pusat bandar LA dan kami akan berjalan kaki meronda persekitaran. Terasa bangga juga apabila mendapati banyak baju yang dijual di department store ada tertera lambang ‘Made in Malaysia’.

Sempat meronda dry market di LA. Harga tertera adalah se pound. Super prunes berharga USD 1.45 (3.60 ringgit) satu pound. 1 kilo bersamaan 2.2 pounds. Ini bermakna sekilo prunes berharga 7.90 ringgit malaysia.

Seperti biasa kami membawa mee maggi sebagai makanan emergency tetapi tentu tidak larat menjamahnya setiap hari. Pada zaman itu memang susah mendapat makanan halal di LA dan kami terpaksa merayau untuk mencari makanan yang bersesuaian.

Senang sahaja meredah berjalan kaki di LA kerana semua jalan nya ‘squarish’ dengan blok blok bangunan.

Akhirnya kami berjumpa sebuah restoran kecil milik seorang iranian jew yang mempunyai sijil ‘Kosher’. Beliau menjual briyani dan makanan orang iran yang memang sesuai dengan tekak orang malaysia.

Isteri membeli cherries di market LA.

Di LA kami melawat tempat tarikan biasa seperti Hollywood, Bel Air, Sunset Boulevard, Universal studios, Beverly Hills, Disneyland, Venice muscle beach, dll dengan mengambil tour. Sebahagian dari tour ialah melawat rumah rumah kediaman artis yang gah.

“This house belongs to Elizabeth Taylor. She bought it from Nancy Sinatra, sitting on 1.27 acres, the home contains 6 bedrooms and 6 bathrooms of which two are master suites; one is on the lower floor, and one is on the top floor. She provided other personal touches to the sprawling estate, including an extensive art collection with works by van Gogh, Degas, Renoir and Pissarro. She kept each room filled with orchids, family photographs, awards and other personal mementos” kata tour guide dengan penuh semangat kepada saya yang mula mengantuk menyaksikan istana bintang filem Hollywood. Memang tabik kepada tour guide yang dapat menghafal semua detail rumah-rumah di Bel Air.

Setelah boring dengan lawatan ke Hollywood kami menaiki bas lokal ke Venice Beach dan Muscle Beach untuk menyaksikan tempat bodybuilders memperaga badan sado mereka. Semasa dalam bas ke Venice beach, saya mendengar satu teriakan dari seorang penumpang.

“Hello, orang Malaysia”.

Siva adalah seorang malaysian berbangsa india yang telah lama bermastautin di LA tetapi masih petah berbahasa melayu. Beliau asalnya seorang pengembara dengan rambut panjang diikat tochang.

Apabila tiba di US, beliau mendapat pekerjaan yang baik dan akhirnya menjadi US citizen. Siva lama tidak pulang ke negara dan sangat rindu untuk berjumpa dan bercakap melayu dengan orang Malaysia.

Pakaian isteri saya dan iras muka kami yang menarik perhatian beliau sebagai rakyat Malaysia. Beliau memberitahu saya akan kerinduan untuk pulang ke Pulau Pinang ‘for good’ tetapi telah melepaskan hak sebagai warga negara Malaysia. Saya hanya boleh bersimpati dengan beliau sahaja.

Di Tijuana Mexico. Tersemat di pinggang adalah kamera Olympus.

Semasa meronda di department store kami juga terserempak dengan seorang gadis melayu yang bekerja di sebuah syarikat engineering. Beliau masih berusia awal 20’an tidak pulang ke Malaysia selepas menerima ijazah tetapi bekerja untuk mendapat pengalaman. Pada tahun 80’an memang ramai pelajar malaysia yang menuntut di USA.

Dari Los Angeles saya dan isteri menaiki bas ke San Diego untuk menyaksikan pertunjukkan dolphin di Sea World.

Keesokkan harinya kami bertolak ke Tijuana Mexico sejauh 30 km untuk day trip. Tijuana ini seperti bandar koboi Danok, dan seperti bandar border lain ia nya sangat sibuk. Pasport saya di cop semasa memasuki ke Mexico dan saya perhatikan keadaan agak huru hara di sebelah Mexico berbanding USA.

Dari perbatasan US hanya 10 minit berjalan kaki di No Man’s land sehingga ke perbatasan Mexico. Pegawai Imigresen Mexico tidak bertanya apa apa soalan kerana saya mempunyai visa multi entry USA selama 5 tahun.

Di Tijuana banyak kedai menjual barangan murah saperti kasut dan bag tangan yang diperbuat dari kulit. Saya berasa saperti lawlessness di Tijuana ini kerana nampak ramai orang mabuk dan tiada kelihatan polis berkeliaran. Ramai hustler cuba memaksa kami masuk ke kedai mereka walaupun kami hanya ingin bersiar siar.

Pada tahun 70’an dan 80’an Mexico memang terkenal dengan perniagaan dadah Narkoba dan banyak geng drug cartel mengendalikan perniagaan ini. Pembunuhan dan penculikan adalah berleluasa sehingga sekarang.

Santai di bangunan The Broadway Hollywood Building berdekatan The Hollywood Walk of Fame.

Tempat happening di Tijuana adalah di Avenida Revolucion dimana terdapat kedai up market.

Untuk masuk semula ke US, selalunya queue panjang dan seeloknya elakkan peak time pada hari minggu dimana queue mengambil masa satu atau dua jam.

Bas ditahan 3 kali semasa perjalanan balik ke Los Angeles oleh US border guards kerana mereka memeriksa PATI dari Mexico. Iras rupa saya seperti orang latino ala Carlos Santana menyebabkan saya diperiksa rapi tetapi apabila mereka melihat visa multi entry USA 5 tahun, mereka greet ‘Welcome to USA, Sir”.

Alhamdulillah, walaupun isteri saya berpakaian jubah dan bertudung labuh, tidak satu ketika pun kami rasa tergugat maupun ditegur oleh orang amerika di LA, tidak seperti di eropah. Orang amerika tidak ambil pot mengenai pakaian atau agama orang lain.

Ya, tiada Islamophobia dan muslim profiling di USA pada zaman itu.

Catatan oleh:
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar

FB: zainuddin omar

Catatan oleh:

Buku #kutuberahak HARD COPY Limited Edition Collectors item. (Diari Kembara 40 Tahun Si Kutuberahak)

BAGAIMANA MEMBELI? BUKU HARD COVER.