Full-time traveller, part-time worker, professional dreamer

Zainuddin Omar

Zainuddin Omar

Seorang Jurutera Professional (P.Eng) berasal dari Parit Jawa, Muar, Johor kini memenuhi masa dengan mengembara keseluruh dunia mencari ibrah. Beliau mempunyai 40 tahun pengalaman kembara dan mula mengembara pada usia 17 tahun.

Pengalaman ibadah Haji pertama diusia muda pada September 1984

Pengalaman ibadah Haji pertama diusia muda pada September 1984.

Pada tahun 1984 saya bersama isteri telah membuat keputusan mengerjakan ibadah haji walaupun umur kami baru 20’an. Kami melawat pejabat tabung Haji di Kelana Jaya untuk bertanya prosidur dan diberitahu bahawa banyak lagi kekosongan haji untuk tahun tersebut.

Bersama isteri dalam penerbangan Mas ke Jeddah

Pembayaran hanya Rm4500 seorang untuk bayaran Haji walaupun pendaftaran dibuat dua minggu sebelum tarikh tutup. Pada tahun 80’an tiada queue haji berbanding sekarang. Kekawan yang mendaftar Haji sekarang ada yang mendapat tarikh tahun 2090 untuk menunaikan haji. Di Mekah Rm500 dipulangkan balik kepada jemaah oleh pihak tabung haji sebagai duit saku.

Sistem muasasah diperkenalkan oleh pihak Saudi pada tahun 1984 menggantikan sistem ‘Sheikh Haji’. Kami batch pertama sebagai ‘guinea pig’ dalam sistem muasasah ini dan ramai menggelarnya sebagai ‘mahasusah’.

Terpaksa menunggu 6 jam untuk bas ke Mekah. Alhamdulillah TH menyediakan makanan.

Apabila sampai di Jeddah kami terpaksa menunggu 6 jam untuk pelepasan imigresen. Disitulah kali pertama saya melihat begitu teruknya perangai pegawai imigresen yang tidak mengendah kesusahan jemaah. Kami dibiarkan berdiri berjam untuk giliran dicop paspot. Saya nampak mereka kerja sambil lewa dan tidak prihatin kebajikan jemaah.

Selepas 6 jam menunggu pelepasan imigresen kami diminta menunggu 6 jam lagi untuk giliran bas ke Mekah. Penantian sangatlah menyusahkan kami yang mengerjakan Haji Ifrad dalam keadaan berihram.

Lawatan ke miqat Jahranah untuk melakukan umrah.

Apabila bas tiba, pengendali muasasah berbangsa arab menyisihkan jemaah mengikut list mereka. Disitulah saya lihat suami isteri anak beranak terpaksa berpecah kerana nama dalam senarai berasingan. Ada yang menangis dan ada meraung kerana dipaksa berpisah dengan ibu bapa yang uzor serta suami dan isteri menaiki berlainan bas. Petugas Tabung Haji tidak boleh berbuat apa apa kerana tidak berkuasa dalam hal muasasah.

Pengendalian pertama sistem muasasah sangatlah bercelaru dimana keluarga terpaksa berpisah kerana dimasukkan kedalam muasasah berlainan. Ini kerana muasasah dibayar ikut kepala dan mereka berebut mengambil sebanyak jemaah mungkin tanpa menghirau keluarga.

Ada yang hanya dapat berjumpa ahli keluarga apabila pulang ke Malaysia walhal mereka didalam satu jemaah.

Alhamdulillah saya bersama isteri dan ibu bapa ditempatkan didalam satu muasasah kerana mendapat pertolongan dari seorang arab (keluarga sebelah isteri) yang bertugas dalam Syarikat Muasasah tersebut.

Di Arafah bersama ibu bapa

Kami ditempatkan dengan jemaah dari Selangor dan mengalami banyak peristiwa pelik yang saya ingin kongsikan bersama pembaca sebagai iktibar.

Kes pertama.

Ada satu pasangan suami isteri pertengahan umor bersama kami di rumah Sheikh. Setibanya di Mekah, si suami berasa terlalu lemah sehingga tidak dapat berjalan dan tidak terdaya untuk ke masjid. Setiap hari isteri beliau menjaga nya dengan rapi dan pada hari wukuf, TH terpaksa mengusung beliau menaiki ambulance ke arafah.

Kami terpaksa membayar tambahan SR400 seorang untuk tinggal berdekatan tempat melontar. Tempat ini sebenarnya kandang kuda yang telah diubahsuai.

Apabila kami bertanya kepada isteri beliau; semasa di Malaysia suami nya selalu bercakap besar dan angkuh bahawa dia sihat, kuat dan selalu menjaga kesihatan. Dengan badan yang kuat beliau merasakan tidak akan jatuh sakit di Mekah membolehkan beliau menjaga isterinya.

Kes dua.

Seorang jemaah disebelahan bilik saya sangat marah kerana seorang pakcik terkena cirit birit dan tak sempat ke tandas. Najis beliau bertaburan dibilik dan terpaksa kawan kawan lain membersihnya. Jemaah tersebut berkata kepada pakchik itu ‘dahlah tua, buang air pun tak pandai’

Keesokkan nya dia sendiri terkena diarrhea dan tercirit bersepah dibilik tak sempat ke tandas seperti pakchik tersebut. Saya melihat sendiri bagaimana beliau terkencit dalam jubah dan berselerakan najis dilantai.

Dari Arafah kaum lelaki dipaksa menaiki bumbung bas ke Mina selama 6 jam walaupun perjalananan dekat.

Kes tiga.

Seorang jemaah sebilik dengan saya kehilangan selipar diluar masjid dan beliau mengambil selipar jemaah lain sebagai ganti. Semasa berjalan pulang dia berasa seperti berjalan diatas bara kerana kepanasan ditapak kaki walaupun dengan berselipar. Dengan cepat dia berpatah balik ke Masjidil Haram, memulangkan semula selipar tersebut dan bersolat taubat.

Kes empat.

Seorang jemaah lelaki dari Banting terlantar sakit dibilik satu lantai dengan saya dan tak terdaya langsung walaupun untuk berdiri sejurus sampai di Mekah. Doctor TH datang melawat kebilik untuk merawat tetapi tidak dapat mengesan apa sakit beliau. Pada hari wukuf beliau di usung dengan ambulance ke Arafah oleh petugas TH. Sehingga tarikh pulang beliau masih tidak sembuh dan semasa flight balik ke Malaysia, flight MAS terpaksa detour ke New Delhi kerana kesihatan beliau semakin tenat. Akhirnya beliau meninggal dunia di New Delhi dan dikebumikan disana. Saya dan keluarga bersama didalam flight Mas tersebut.

Apabila diselidik, jemaah ini telah bergaduh dengan adik beradik dan membolot semua harta pusaka bapa mereka.

Di atas bas bersama seorang pekerja indonesia yang sama-sama melaksanakan Haji.

Kes lima.

Seorang jemaah membeli dua keping roti arab untuk dibawa balik ke bilik. Dalam perjalanan sekeping roti tersebut terjatuh dan beliau mengambilnya semula. Dalam perjalanan beliau sedekahkan roti yang terjatuh tadi kepada seorang daif.

Apabila sampai kebilik, alangkah terperanjatnya kerana roti yang dibawa pulang adalah roti yang terjatuh tadi yang masih ada kesan kotoran.

Kes enam.

Seorang jemaah berjanji untuk berbotak kepala selepas mengerjakan Haji. Apabila selesai ibadah Haji, dia berasa sayang untuk membotakkan kepala. Seminggu selepas itu dia dijangkiti sakit kulit di kepala dan doktor terpaksa mencukur rambutnya botak.

Kes tujuh.

Semasa di hari wukuf di Arafah, seorang pencuri cuba untuk memasuki rumah kuarters saya di Shah Alam dengan mengergaji grill besi. Kebetulan jiran saya balik kerumah pada masa itu dan beliau tergerak hati untuk memeriksa kawasan belakang rumah saya. Apabila melihat rakan saya, pencuri itu terus cabut lari tanpa dapat masuk kerumah saya.

Pada saat itu kami sedang wukuf di Arafah dan sedang berdoa untuk keselamatan dunia dan akhirat. Begitu cepatnya Allah mengkabulkan doa kami.

Bersiap sedia untuk pulang ke tanah air selepas ibadah haji selama 40 hari di tanah suci.

Kes lapan.

Seorang isteri telah keluar ke satu tempat di Mekah tanpa kebenaran suami. Dia pulang kebilik tanpa memberitahu kemana dia menghilang. Tiba tiba isteri mengalami sakit perut yang teruk selama seharian dan reda apabila dia mengaku kepada suami tentang pemergiannya tanpa kebenaran dan sembuh setelah suami memaafkan beliau.

Kes sembilan.

Satu grup dari Malaysia mengambil pakej VIP dan tinggal di hotel bersebelahan. Mereka selalu bercakap besar kepada jemaah kami dan bangga dengan pakej VIP yang berkos berlipat ganda dari pakej marhaen kami.

Saya perhatikan acap kali hotel mereka mengalami keputusan air dan terpaksa menumpang mandi ditempat kami. Bas mereka ke Arafah juga tidak sampai tepat pada masanya dan terpaksa menunggu berjam jam walhal kami telah pun berlepas. Satu demi satu masalah yang menimpa mereka dan TH hanya boleh meminta mereka bersabar kerana dugaan Allah, walaupun pakej VIP. Tak habis habis saya mendengar jemaah pakej VIP tersebut memaki hamun petugas pakej mereka walaupun dalam ihram.

Kes sepuloh.

Seorang rakan yang pergi bersama saya sepatutnya tinggal 45 hari di tanah suci. Selepas menunaikan haji, saya nampak dia terlalu gelisah mahu pulang ke Malaysia dengan segera. Saban hari beliau ke pejabat TH merayu untuk menukar tarikh pulang dan akhirnya berjaya. Ini bermakna beliau tidak sampai 14 hari berada di Tanah Suci. Sebulan kemudian saya bertemu beliau dan bertanya kenapa dia tergesa-gesa untuk pulang walhal bukan senang untuk pergi ke Tanah Suci.

Akhirnya beliau membuka rahsia terkena jangkitan penyakit kelamin VD di Mekah. Dia ‘last kopek‘ melakukan kerja tidak baik sehari sebelum berlepas ke Mekah walaupun mengambil langkah berjaga-jaga. Penyakit VD ‘manifest’ semasa beliau melakukan Ibadah Haji dan berasa seperti tidak siuman semasa di Mekah.

Selalunya saya menasihatkan rakan bakal jemaah haji untuk banyak melakukan solat taubat di Malaysia sebelum berpergian dan melaksanakan ‘vow of silence’ di tanah suci.

Semoga kisah kisah benar ini yang saya alami dan melihat dengan mata kepala sendiri menjadi pedoman dan iktibar kepada kita semua.

Catatan oleh:

Buku #kutuberahak HARD COPY Limited Edition Collectors item. (Diari Kembara 40 Tahun Si Kutuberahak)

BAGAIMANA MEMBELI? BUKU HARD COVER.