Full-time traveller, part-time worker, professional dreamer

Zainuddin Omar

Zainuddin Omar

Seorang Jurutera Professional (P.Eng) berasal dari Parit Jawa, Muar, Johor kini memenuhi masa dengan mengembara keseluruh dunia mencari ibrah. Beliau mempunyai 40 tahun pengalaman kembara dan mula mengembara pada usia 17 tahun.

Carian ibrah semasa usia muda agar mudah melayari kehidupan tua

Zaman muda adalah sangat sesuai berbackpacking ketika tenaga empat kerat dan kederat masih mantap. Tinggalkan sekejap keempokan katil dirumah dan berkembaralah mencari ibrah dan pengalaman.

Diusia muda badan tidak kenal penat, tidak tahu merintih dan tidak keluh kesah bila kurang comfort. Percayalah bila umur sudah meningkat, tulang sudah mulai reput, semua sendi lemah longlai, mata sudah kabur dan perut membusut, sudah tidak berguna lagi cita cita meninggi untuk berkembara lasak.

Mengembaralah bukan melancong. Melancong sekadar berihat tetapi mengembara adalah berjalan sambil belajar.

1. Menanamkan sifat berdikari, keyakinan diri dan street smart.

Mengembara akan menjadikan anda pandai berdikari dengan mencari penyelesaian masalah secara ‘ad-hoc’ dan tidak buntu akal. Semasa berkembara di Eropah pada umur 18 tahun, saya tersangat letih di Hamburg kerana tidak dapat berihat secukupnya. Untuk tidur dihostel kosnya mahal tetapi saya mendapat idea untuk tidur dalam pawagam 24 jam.

Tiket masuknya murah dan saya dapat tidur nyenyak selama 8 jam dengan baring diatas seat sofa yang comfy. Saya terpaksa berfikir secara ‘out of the box’ untuk berihat dengan kos bajet. Ketika di Zurich saya kehabisan wang dan dalam keadaan lapar cuba mencari makanan.

Akhirnya saya ikut kumpulan Hare Rama Hare Krishna yang membawa saya ketempat mereka dan menjamu makanan vege secara percuma. Saya tidak perlu mengemis seperti travellers jalanan dari barat yang memohon ihsan orang ramai seperti di Sg Wang KL. Dengan sifat berdikari anda belajar untuk selesaikan masalah sendiri dengan cara terbaik.

Tentunya apa apa keputusan yang dibuat sendiri akan menyebabkan anda menanggung kebaikan atau keburukkan implikasi keputusan tersebut. Lambat laun anda akan belajar menilai sesuatu keputusan dengan terperinci untuk mendapat yang terbaik dari keyakinan diri sendiri.

Pembelajaran berdikari semasa usia muda banyak membantu saya mengharungi kehidupan semasa bekerja dengan membuat sesuatu ‘decision’ yang tepat dan cepat.

2. Sambil mengutip pengalaman dan memori berharga, ianya menjadikan anda lebih berfikiran terbuka.

Ketika mengembara anda akan berjumpa dengan berbagai bangsa, tua dan muda yang berbagai ragam dan perwatakan. Setiap manusia dan tempat mempunyai perangai dan budaya unik yang anda boleh kutip sebagai pengajaran.

Anda akan dapati bahawa orang baik ada merata didunia ini dan akan menghilangkan perasaan ‘stereotyping’ sesuatu bangsa. Ambil peluang untuk belajar budaya asing dan mengenali berbilang bangsa kerana ianya akan mengajar anda erti kehidupan dan tentang diri anda.

Proses pembelajaran semasa kembara lebih mantap dari pembelajaran teori di Kolej dan Universiti dan ilmu kembara jalanan sangat berguna untuk kehidupan kelak dengan membuka minda anda. Ingat kata kata Thomas Dewar,“Minds are like parachutes – they only function when open”.

3. Belajar sifat bertoleransi.

Kebiasaan nya saya jarang berbincang berkenaan perkara perkara sensitif apabila berjumpa dengan rakan kembara dari negara lain. Selalu nya perkara sensitif adalah sabjek agama dan politik. Di Ventimiglia Italy semasa trip backpacking bersama isteri, kami menunggu train ke Monaco dari Milan dan terserempak dgn Ali Reza, saorang syiah muslim dari Iran.

Setelah memperkenalkan diri, beliau bersama isteri dalam perjalanan dari Rome ke Nice. Perbualan kami menjalar kpd bab pemakanan kerana mahu berkongsi berkenaan kedai2 halal. Beliau berkata tidak ambil peduli mengenai pemakanan dan akan makan daging babi asalkan ianya sedap.

Saya rasa dia cuba membuat provokasi kepada saya kerana dia tahu saya saorang sunni muslim. Kami bertengkar mengenai isu halal haram kerana pegangan beliau dan akhirnya kami berpisah didalam keadaan yg tak selesa.

Dalam perjalanan ke Nice saya terfikir, berkemungkinan saya tersilap menyatakan ketidak persetujuan secara bertengkar dan sepatutnya menyampai dakwah dengan bijaksana dan berhemah. Saya tidak menghalusi dan memahami perjalanan hidup Ali Reza di Iran yang mungkin ‘non Islamic’ sehingga beliau tiada bermasalah memakan daging babi.

Peristiwa tersebut mengajar saya bertoleransi dengan berhujjah secara bijaksana tanpa provokasi pada kemudian hari.

4. Belajar urusan kewangan dari muda.

Semasa berkembara tentunya bajet sangat penting terutamanya jika anda tidak mempunyai poket yang tebal. Semasa berkembara diusia muda dulu, wang £10 (Rm 70) boleh bertahan seminggu terutamanya dalam belanja makan.

Saya belajar bagaimana berjimat dan ‘appreciate the value of money’ serta memastikan trip dibuat dengan bajet yang sederhana. Skil pengurusan kewangan yang dipelajari sangat berguna apabila menguruskan perbelanjaan kehidupan bersama keluarga tanpa perlu berhutang.

Pengalaman kembara diusia muda insyaAllah akan meluaskan minda, menjadi penyuluh jalan dan panduan hidup anda sepanjang usia.

Catatan oleh:

Buku #kutuberahak HARD COPY Limited Edition Collectors item. (Diari Kembara 40 Tahun Si Kutuberahak)

BAGAIMANA MEMBELI? BUKU HARD COVER.